Seluang dan duri dibuat jeruk,
Digoreng dibakar diasamlimaukan;
Mengkuang dicari serata ceruk,
Berbidanglah tikar dianyam jadikan.

Tempayan dan guri disusun rapi,
Cantik ukiran menghiasi tangga;
Dibuangnya duri dilayur api,
Dibelah rapikan mengguna jangka.

Mentari mencelah di hujung kuala,
Di selatan Yan cahaya berbalam;
Sesudah dibelah diikatlah pula,
Dalam tempayan direndam bermalam.

Serindit putih turun di kali,
Digetus kemuncup dibuat sarang;
Dibilas bersih hingga berkali,
Direbus dicelup warna nan terang.

Pohonlah betik dibuang di sumur,
Pohonlah jering ditukar tanam;
Berpanas terik mengkuang dijemur,
Barulah kering senang dianyam.

Kota diandam gilang-gemilang,
Pertabalan sultan semakin dekat;
Tikar dianyam silang-menyilang,
Cantik kelihatan hati terpikat.

Berkembang mekar lily setaman,
Diapit si tanjung dan juga dahlia;
Anyaman tikar seni berzaman,
Warisan disanjung sejagat dunia!

dahna

DAHNA
JITRA, SEPT 2018