(i)
Mari melumur minyak kelapa,
Kepala dingin sakitpun hilang;
Terlajak umur tidak mengapa,
Asalkan ingin ambil peluang.

(ii)
Biarpun lebat hujan di paya,
Usah diubah letaknya guri,
Biar terlambat asal berjaya,
Perlulah tabah kuatkan diri.

(iii)
Kapurlah barus baunya pelik,
Ganti gaharu bawa ke sini;
Belajar terus biarlah celik,
Cara baharu ilmu terkini.

(iv)
Biarpun redup anginnya deras,
Di tengahari hujanlah nanti;
Selagi hidup fikiran waras,
Ilmu dicari jangan berhenti.

(v)
Burung yang jauh kini bertamu,
Tinggalkan hawa sejuk di sana;
Jangan disauh perahu ilmu,
Bebaskan jiwa terus kelana.

ibnudin-assingkiri

IbnuDinAssingkiri
Heritage Hotel, Cameron Highland, 06 Ogos 2018