IRWAN ABU BAKAR (Dr. Ir. Wan Abu Bakar bin Wan Abas, FASc)

No. 96, Jalan 7/71B, Pinggir Taman Tun Dr. Ismail, 60000 Kuala Lumpur.

HP: 019-2680086

Irwan Abu Bakar (atau Dr. Ir. Wan Abu Bakar bin Wan Abas) dilahirkan pada tahun 1951 di Segamat, Johor.  Beliau bersekolah rendah dan menengah di Segamat serta mengikuti kursus Tingkatan 6 untuk empat bulan di English College, Johor Bahru, Johor. Kemudiannya beliau telah berpindah untuk mengikuti kursus diploma dalam biidang Kejuruteraan Mekanik di Maktab Teknik, Kuala Lumpur (kini UTM).  Selepas itu, beliau telah melanjutkan pelajaran di University of Strathclyde, Glasgow, United Kingdom untuk mengikuti kursus Bachelor of Science (Mechanical Engineering) dan PhD (Bioengineering). Isterinya ialah Hasimah Harun dari Pasir Mas, Kelantan. Mereka dikurniakan tujuh orang cahaya mata, lima lelaki dan dua perempuan. Kini mempunyai tiga orang cucu.

Irwan merupakan profesor di Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Malaya sehingga Januari 2018. Kini beliau telah bersara sebagai profesor dan dilantik sebagai Research Associate di Jabatan yang sama.

Irwan pernah menerajui Fakulti Kejuruteraan, Universiti Malaya (FKUM) sebagai Dekan sebanyak tiga kali untuk tempoh 10 tahun. Beliau juga telah menerajui penubuhan program ijazah sarjana muda Kejuruteraan Bioperubatan (BBEng) dan kemudiannya pembentukan Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan di FKUM. Beliau telah dilantik sebagai Ketua Jabatan yang pertama bagi Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan FKUM itu. Melalui proses yang berkenaan, Irwan menjadi pengasas pendidikan kejuruteraan Bioperubatan di Malaysia. Selepas itu, beliau telah terlibat sama dalam pembentukan program sarjana muda Kejuruteraan Bioperubatan (Prostetik dan Ortotik), ringkasnya BBEng (P&O), di Jabatan yang sama. Di samping itu, beliau juga telah menerajui pembentukan Fakulti Alam Bina, Universiti Malaya dari empat program alam bina yang mulanya beroperasi di bawah Fakulti Kejuruteraan. Beliau juga telah terlibat dalam pengkomersialan hasil penyelidikan di makmal prostetik dan ortotik dengan bersama-sama membangunkan syarikat terbitan Universiti Malaya, BioApps Sdn Bhd yang mengendalikan perniagaan pembekalan dan perkhidmatan prostesis (anggota badan buatan) dan ortosis (alat sokongan anggota badan). Di luar tugas rasminya, beliau memimpin persatuan-persatuan profesional kejuruteraan pada peringkat nasional, iaitu Persatuan Kejuruteraan Perubatan dan Biologi (MSMBE) sehingga 2015 serta Persatuan Prostetik & Ortotik Malaysia (PPOM) sehingga sekarang.

Irwan mempromosi konsep “whole-brain thinking” sebagai jurutera yang terlibat secara aktif dalam bidang sastera. Beliau telah menerbitkan pelbagai karya sastera dan pernah memenangi beberapa anugerah sastera tempatan. Di samping itu, beliau diiktiraf di Malaysia sebagai pengasas kegiatan sastera siber (atau e-sastera) Melayu. Portal sasteranya dilanggani penulis dari pelbagai negara, terutamanya Indonesia.

Irwan mula menerbitkan puisi di media cetak pada tahun 1995 (”Diasfora Alam Bahasaku”, Pelita Bahasa, Februari 1995). Sehingga kini, Irwan telah menerbitkan dua buah kumpulan sajak di Malaysia, iaitu Semelar (Kuala Lumpur: kAPAS Publication, Jun 2003) dan Kuntom Ungu (Kuala Lumpur: Esastera Enterprise, 2012). Juga beliau telah menerbitkan kumpulan puisi di Indonesia, iaitu Grafiti Hati (2016) dan sebuah buku kumpulan “puisi berserta ulasan”, iaitu Peneroka Malam (2014).

Beliau juga terlibat secara aktif dengan deklamasi puisi, terutamanya di Malaysia dan Indonesia.

Irwan mula menerbitkan cerpen pada tahun 2002 (”$yy…”, Berita Minggu, 25 Mei 2003). Pada tahun 2016, beliau menerbitkan kumpulan cerpen Rewang Minda yang mengandungi 18 buah cerpen tulisannya. Cerpen-cerpen itu kebanyakannya telah tersiar terlebih dahulu di laman-laman web tertentu.

Novel pertama tulisan Irwan berjudul Cinta Berbalas Di Meja 17 (Kuala Lumpur: Esastera Enterprise, 2008). Edisi-edisi terkemudian novel itu diberi judul Meja 17 (Kuala Lumpur: Esastera Enterprise, 2012, 2015, dan 2016). Edisi Indonesia novel ini telah diterbtikan di Jakarta pada tahun 2014, juga dengan judul Meja 17. Pada tahun 2018, Irwan menerbitkan novel keduanya. Novel itu berjudul 30 Februari dan telah diterbitkan di Indonesia (Mei, 2018).

Kini beliau meneruskan penerbitan e-majalah sastera (majalah sastera dalam Internet), eSastera.com (www.e-sastera.com) yang bermula pada tahun 2002 tetapi dengan format baru. Majalah itu kini mempunyai cawangan di Facebook.com dalam bentuk grup-grup facebook yang dibentuk di bawah akaun facebook E-Sastera Malaysia. E-majalah itu dinamai E-Sastera@Facebook dan dibentuk oleh grup ”E-Sastera@Facebook Induk” sebagai grup kawalan dan pelbagai grup karya berasaskan genre. Antaranya ialah grup E-Sastera Sajak, E-Sastera Cerpen, E-Sastera Novel, E-Sastera Kritikan, E-Sastera Berita (Pemberitahuan dan Laporan), dan E-Sastera Forum. Butir-butir tentang e-majalah E-Sastera@Facebook diberikan dalam buku berjudul Panduan Pengguna E-Sastera@Facebook (Esastera Enterprise, 2015).

Terkini Irwan menerbitkan e-majalah E-Sastera.com (www.e-Sastera.com) untuk mempromosikan format sastera elektronik yang melebihi apa yang mampu dihidangkan di Facebook. Namun e-majalah ini dikongsi ke Facebook untuk menarik pelanggan yang banyak di situ.

Portal unik yang pernah diterbitkannya tetapi telah ditutup pada masa ini ialah tivi-Sastera (www.eSastera.tv).

Irwan juga telah menubuhkan GLP (Grup Lagu Puisi eSastera) yang kini bernaung di bawah syarikat eSastera Records (Pengurus: Dinie Wan). GLP telah menerbitkan dua buah album penuh lagu-lagu puisi, iaitu Perada Cinta (2014) dan Dot Dot Dot (2016).

Mulai 2012, eSastera telah menerokai bidang ”sastera Twitter” dengan nama @tSastera (namanya di laman Facebook ialah Twit Sastera).

Dalam gerakan penulis, Irwan ialah Presiden, Persatuan Aktivis E-Sastera Malaysia (E-SASTERA) sejak didaftarkan pada tahun 2010. Irwan juga pernah menyandang jawatan Timbalan Presiden, Persatuan Sasterawan Numera (Nusantara Melayu Raya), Malaysia dan juga pernah menjadi Bendahari, Jawatankuasa Protem, Persatuan Sasterawan Paksi Rakyat (PAKSI).

Anugerah sastera yang pernah dimenangi Irwan ialah Tokoh Patria Numera (2017), Hadiah Sastera Darul Takzim (Puisi Eceren, 2007-2008), dan (c) Anugerah Sastera Perdana Malaysia (Cerpen Eceren, 2004-2005),

Irwan ialah Fellow, Academy of Sciences, Malaysia (FASc). Beliau juga ialah Editor Bersekutu bagi majalah Dewan Sastera terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, Malaysia.

Pada tahun 2016, Irwan telah menubuhkan gerakan sastera pada peringkat ASEAN yang dinamai Gabungan Komunitas Sastra ASEAN (GAKSA). Kini GAKSA menerbitkan portal e-karya yang dinamai Sastera.Vaganza ASEAN (www.SasteraVaganza.net).  Karya di portal ini dikongsi ke Facebook dalam grup “GAKSA – Karya ASEAN”.

Bertarikh: 09.12.2018.

Advertisements