(i)
Walaupun dihadang tebal awan
mentari tekal menghunjam cahaya
kerana terlalu ingin hangatkan
tasik yang sedang kedinginan.

Suluhan cakerawala menyulam
tembus berangkai gumpalan awan
laksana kipas buluh ajaib dibuka
jemari lentik puteri kayangan.

Bukit bukau rela menjadi pulau
dirias tona hijau bertindan biru
biasan dari keasyikan terdalam
simpanan rahsia sejak berkurun.

(ii)
Maha karya Dia yang mencipta
lukisan terindah lagi bernyawa
dibingkai horizon ke sudut mata
nikmat terserap ke dalam jiwa.

(iii)
Bagaikan laron sedang kasmaran
tertanggal sayap dalam terpegun
hanya berharap limpahan cahaya
sampai ke tanah tempat kujatuh.

ibnudin-assingkiri

IbnuDin Assingkiri
Stesen Janaelektrik Sultan Mahmud, Kenyir, 24 September 2018