Irfan sudah kenyang.  Dia baru sahaja makan pagi sebentar tadi. Isterinya Shima tidak sempat makan pagi, jadinya Shima sedang lapar. Selepas urusan di bank, mereka ke Restoran eSastera, duduk di meja 17. Shima memesan sepinggan nasi campur dan Irfan hanya memesan segelas teh O ais, sama seperti minuman yang dipesan Shima.

Datang pelayan restoran untuk mengira bayaran yang akan dikenakan. Pelayan itu bertanya, “Sorang jer makan ke?”

Irfan menjawab, bergurau, “Bajet cukup untuk sorang makan jer, jadi bagi isteri makan la…”

Sebentar kemudian, pelayan restoran itu datang semula membawa sepinggan lagi nasi campur dan meletaknya di depan Irfan: sepinggan nasi dengan lauk yang sama seperti di pinggan Shima.

“Eh, saya tak pesan pun…” kata Irfan kepada pelayan itu.

“Tak per, Encik. Tak perlu bayar. Percuma, tauke belanja…” kata pelayan itu.

Irfan berasa sebak. Mengalir turun air mata di pipinya.

TAMAT.