Di rusuk jambatan pertama
Pulau Korea terbatuk
dek sisa karbon terlepas
dari kenderaan bertali arus
ke pulau dan tanah besar.

Pulau Jerejak jadi bayang
hingga berbirat muka laut
menjadi tona tak sekata
cawan dan plastik terapung
bagai parut jeragat di dahi.

Seekor gagak bertalkin
kepada remis dan ketam angin
jenazah rojak buah terkedang
dalam keranda polesterin
di bawah rhu condong.

Wajah simpati awan
merenung parah luka bukit
yang tak bakal sembuh;
Batu Kawan terbongkang
di robek maruahnya.

Pabila bukit gelongsor,
pantai ditambak polesterin,
penyu dan dugong mati…
manusia tetap hidup –
dalam drama penuh hairan.

WhatsApp Image 2018-11-27-ibnu din assingkiri-ida

IbnuDin Assingkiri
Pantai Batu Uban, 25 November 2018