Seekor ayam dikerat-kerat,
rempah darat dalam loyang;
kasih kanda kian erat,
hati dinda bertambah sayang.

Semangkuk bawang dimayang-mayang
seinci halia diracik halus;
walau jauh selalu terbayang,
kasihmu kanda sentiasa tulus.

Minyak masak setengah cawan,
giling lada beralas batu;
di benak mekar kian tertawan,
tiada berpaling ikhlasku satu.

Santan pekat letak tepi,
campur -campur sesudu kerisik;
aduhai kanda usah menyepi,
bilakah rombongan hantar merisik.

Kacau-kacau kecilkan api,
gulai mendidih dalam kuali;
kasih kanda tiada menepi,
jauh berdua jangan sekali.

Gulai berlada dalam periuk,
salin pula setengah di kuali;
aduhai kanda usah merajuk,
bermain di minda sebut berkali.

Semangkuk gulai rempah darat,
dari Kelantan di beli dinda;
walau ikatan hanya sesaat,
sayangkan kanda tersemat di dada.

adyra Az-zahra-2

Salam Kasih

Adyra Az-zahra
Bandar Puteri.Puchong, 6 Oktober 2018.