(i)
Perjalanan pulang tersampul
dalam sebungkus lohong hampa
penghantarannya tersekat-sekat
antara transit terduga sesak.

Paku pakis di lereng mematung bagai pengawal ratu England
mentari menghunjam lebuh raya
dengan panah-panah baranya.

Rangup gajus panggang dikunyah
segar minuman penambah tenaga
takkan bisa menyurai kenderaan dalam rangkakan bontot ke bontot.

(ii)
Aku melangkah jambatan masa
binaan kristal bertingkat-tingkat
antara kaki dan papan pemuka
selangkah dari Tapah terus ke rumah.

Wajahmu siluet bujur sirih
menyambutku di gerbang pintu
kucing-kucing melompat girang
menggonggong arapaima Afrika.

Tanganku yang baru kau cium
memancar bunga api merdeka
cahaya meriah walau kesiangan
sirnakan siluet; sinarkan senyum.

ibnudin-assingkiri

IbnuDin Assingkiri
R & R Tapah Arah Utara, 31 Ogos 2018.