Selesai lapan rakaat tarawih
seperti biasa
dia melangkah menuju arah ke luar masjid
namun sebelum melintasi muka pintu keluar
ada lelaki asing di depannya –
tidak dikenalinya lelaki asing itu.

“Aku malaikat maut, datang untuk mencabut
nyawamu di malam mulia Ramadan,
saat kau melangkah keluar pintu,” kata lelaki asing itu
menjelaskan duduknya perkara.

Tergamam dia, terhenti langkahnya.

“Mohon aku tambah pahala,” jawabnya
lalu berpaling ia ke belakang
dari poket ke tabung masjid
dipindahkannya semua wang
lantas terus ia mengikut imam semula
melengkapkan 20 rakaat tarawih
ditambah tiga rakaat witr.

Selesai itu, menuju ia ke pintu
keluar semula dengan lebih bersedia
apabila melihat lelaki asing tadi di luar pintu
dia tersenyum, melangkah keluar, dan berkata,
“Aku sudah bersedia…”

Lelaki asing tadi memandangnya
lantas berkata,
“Tuan, ikut jadualku,
kau orangnya, di sini tempatnya, tapi waktunya 21:30:03 tadi
sekarang sudah 22:30:08
tidak ada arahan baharu kuterima…
selamat tinggal, tuan
aku tidak boleh mencabut nyawamu
aku perlu ke tempat yang lain
mencabut nyawa makhluk yang lain
ikut jadualku.”

-IRWAN ABU BAKAR
Kuala Lumpur, 11.06.2018 @ 12:35AM