“Ala… mengarut jer mereka ni… Benda macam tu, mana ada isu dalam negara ini? Mana ada isu benda seperti itu dalam budaya bangsa kita? Perkataan kleptokrat pun tak ada dalam perbendaharaan bahasa kita. Hal itu bukan keprihatinan sistem hidup masyarakat kita. Pemimpin negara ini memang bebas buat apa sahaja, rakyat patuh saja; ikut saja… Itu tradisi kita turun-temurun, zaman-berzaman…. Rakyat setia kepada pimpinan yang telah mereka pilih!”

Berkali-kali Datin Rosnak mengulang perkara itu kepada suaminya yang duduk berhadapan dengannya di meja 17, Restoran e-Sastera. Disebabkan suaminya menyandang jawatan tertinggi politik negara Playsia,  maka Datin Rosnak digelar First Lady. Lebih tepat lagi, First Lady of Playsia (FLOP). Tepat sekali gelaran FLOP itu dengan keperibadian tamak dan pentingkan diri yang dimilikinya.

Si suami, Presiden Negara (PN), merenung Datin Rosnak sambil meneguk secawan teh tarik yang sedia terhidang di meja 17 yang mereka duduki. Dahi PN berpeluh. Mereka bersama sedang menanti tersiarnya keputusan pilihan raya umum (PRU) hari itu.

Selepas memegang jawatan PN selama 10 tahun, kini PN Datuk Nakjam menghadapi kemarahan kebanyakan rakyat. Terbaru, rakyat Playsia sedang marah tentang projek perpaipan gas nasional. Paip gas dihantar ke setiap bangunan di seluruh Playsia dengan janji pemerintah akan menyalurkan gas percuma untuk kegunaan rakyat, semua rakyat: tinggi atau rendah, kurus atau gemuk, miskin atau kaya, cerdik atau bangang. Projek ini ialah projek termahal kerajaan Playsia. Kosnya bulan lagi bermilion, bukan berbilion, bukan bertrilion, tetapi telah naik ke zilion, malah ke gazilion. Katanya, penyiapan projek tercapai setelah mencecah kos 2.6 gazilion RP. (RP ialah Rongit Playsia, unit mata wang negara Playsia; tak kan itu pun kau tak tahu!). Rakyat berang kerana duit negara telah dibelanjakan, sistem perpaipan telah siap, namun gas percuma masih belum disalurkan seperti yang dijanjikan.

Playsia sebenarnya ialah negara demokrasi. Kepemimpinan negara dipilih rakyat melalui Pilihan Raya Umum (PRU) yang wajib diadakan, paling tidak, lima tahun sekali. PRU kali ini ialah PRU kali ke-17. PRU 17 menyaksikan kempen yang sengit. Parti pembangkang telah berpadu tenaga membentuk sebuah pakatan politik yang mereka namai Pakatan Hahihu (PHhh). Semua parti politik pembakang menyertai SHhh kecuali sebuah, iaitu parti LULUS. Khabarnya para pemimpin parti LULUS telah dibayar 1.5 gazilon RP oleh Datuk Nakjam supaya tidak menyertai SHhh. Namun para pemimpin LULUS menafikannya.

Dalam kempen PRU 17, Datuk Nakjam telah dituduh menyalurkan bergazilion Rongit wang negara ke akaun peribadinya. Lebih serius lagi, dia dan Datin telah juga dituduh terlibat dengan beberapa pembunuhan. Bunuh manusia, bukannya tampar nyamuk atau sembur Ridsect ke semut. Kes paling terkemuka ialah pembunuhan seorang wanita warga negara asing oleh dua pegawai Pasukan Kaki Belasah Negara (PKBN) kerana wanita itu mendakwa ada hubungan sulit dengan PN. Kata orang, dua pegawai itu bertindak atas arahan PN dan isterinya. Walau bagaimanapun, disebabkan Datuk Nakjam ialah PN, dia telah membantutkan sebarang tuduhan jenayah terhadap dirinya dan isterinya dengan melantik pegawai atasan yang bertanggungjawab dari kalangan individu yang menyokongnya setelah mereka itu dibayarnya dengan Rongit yang banyak. Mereka termasuklah Ketua Polis Nasional (KPN), Ketua Kehakiman Nasional (KKN), dan Ketua Pencegahan Putar Belit Nasional (KPPBN). Pendek kata, Datuk Nakjam memang mempraktiskan slogan “Cash is king” yang sering dilaung-laungkannya kepada pemimpin akar umbi parti ONYOU. Di samping itu, kesan kepopularan media sosial pada masa ini telah banyak membantu para pejuang rakyat untuk mendedahkan perbuatan terkutuk para pemimpin. Antaranya Facebook, Instagram, dan Twitter..

Kira-kira jam 3.00 pagi tadi, Datin Rosnak dan Datuk Nakjam telah pulang ke kediaman rasmi mereka. Ramai rakyat Playsia telah terlelap di hadapan tivi di rumah masing-masing. Mereka keletihan menunggu pengumuman keputusan PRU 17 yang dilengahkan oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Negara (SPN). Pukul 3.00 pagi itulah Ketua SPN telah mengumumkan keputusan keseluruhan PRU 17. Parti pemerintah ONYOU pimpinan PN Datuk Nakjam telah kalah! Pertama kali dalam 85 tahun sejarah Playsia merdeka, parti pemerintah ONYOU tidak memenangi cukup majoriti untuk memerintah negara Playsia. Malah pakatan parti lawannya PHhh telah memperoleh kelebihan kerusi yang amat tinggi bilangannya sehinggakan bos SPN tidak berdaya untuk memanipulasi keputusan seperti yang dia dan Datuk Nakjam telah rancangkan.

Datuk Nakjam terkedu, tak ubah bak semut yang mati kerana gula. Terasa olehnya bahawa dia dan keluarganya kini tidak lagi dapat berlagak seolah-olah dunia ini mereka yang punya.

Ketua pakatan PHhh, Datuk Dr. Melera, telah dilantik menjadi PN baharu oleh Ketua Diraja Negara Playsia. Datuk Dr. Melera menjadi PN Playsia yang ke-5. Maka pertama kali dalam sejarah negara Playsia, negara itu menerima PN dalam kalangan pemimpin dari parti bukan ONYOU. Sebai-baik dilantik PN, Datuk Dr. Melera mengarahkan pasukan polis negara segera mencari dan memberkas Datuk Nakjam dan isterinya.

Rakyat Playsia yang riang dan berang menjerit di jalan-jalan dan di padang-padang. Juga di rumah-rumah dan di ladang-ladang. “Pencuri! Pembunuh! Tangkap mereka!” Rakyat merujuk kepada Datin Rosnak dan Datuk Nakjam.

Kebanyakan rakyat menolak ONYOU kerana tidak tertahan melihat khazanah negara dirompak oleh mereka yang diberi kuasa tanpa berasa takut mahupun malu walau sedikit pun. Rasa sedih rakyat kini menjelma menjadi riang ria. Mereka mula merasai kemerdekaan kali kedua, dulu kemerdekaan daripada penjajah asing, kini pula kemerdekaan daripada pemimpin yang bersifat kleptokrasi. Para pemimpin ini amat tamakkan harta dunia lantas menyelewengkan kuasa, melakukan rasuah, dan bermaharajalela dengan politik wang tanpa berasa kasihan terhadap kesengsaraan yang dideritai rakyat akibat perbuatan mereka itu. Rakyat kini sedar bahawa bahtera yang mereka tumpangi sedang dikemudikan oleh lanun yang hanya memikirkan keselesaan diri sendiri.   

Datin Rosnak memberitahu suaminya tentang rancangan yang telah diaturnya jika ONYOU kalah dan mereka tidak lagi dapat menjadi PN dan FLOP. Jelas Datin Rosnak, rakan akrabnya telah menyediakan jet peribadi untuk menerbangkan mereka ke negara luar yang akan memberi suaka politik kepada mereka. Namun rancangan Datin Rosnak gagal kerana telah dibocorkan oleh pegawainya yang menyebelahi pihak lawan.  Lantas lapangan terbang tempat mereka sepatutnya berlepas telah disekat ribuan rakyat yang cintakan negara dan geramkan mereka.

Datuk Nakjam masuk ke sebuah kapsul elektronik yang tersedia di pelantar atas kediaman rasmi PN. Datin Rosnak yang sedang panik itu telah mengekorinya masuk ke kapsul itu.

“Mereka mahu bunuh kita. Rakyat Playsia mahu bunuh kita. Adalah lebih baik kita bunuh mereka. Biar mereka semua mati dan tinggal kita berdua sahaja sebagai penghuni dan pemilik negara ini,” kata Datuk Nakjam kepada isterinya. (Namun di dalam hatinya berkata, “Eloknya biar aku seorang sahaja yang tinggal tetapi disebabkan engkau telah ikut masuk ke kapsul ini, aku tiada pilihan dan engkau juga akan kekal hidup bersama untuk terus menyeksa hdupku.”).

Langkah kritikal telah diambil. Cerdik sungguh rancangan Datuk Nakjam melalui sistem perpaipan negara yang baru dibina dengan kos 2.6 gazilion rongit itu. Dari dalam kapsul kedap udara yang mereka masuki tadi, Datuk Nakjam telah melepaskan gas beracun ke dalam sistem perpaipan negara yang baru dibina. Sistem perpaipan tersebut bakal menyalurkan gas beracun itu ke setiap milimeter negara Playsia dan membunuh semua makhluk yang bernyawa di seluruh Playsia, termasuk penulis hebatnya, Irwan Abu Bakar.

Datuk Nakjam naik seronok akan kehebatan rancangannya itu. Dia lantas menghantar mesej Twitter kepada Miss Ellie, pembantu peribadinya:

Hi Ellie. Saya telah lepaskan gas ke sistem perpaipan negara. Semua rakyat akan menerima gas yang mereka tunggu-tunggu selama ini… Hahaha!

Gas beracun telah dilepaskan. Itu sahaja yang perlu dibuatnya. Datuk Nakjam menekan butang fly-high di kokpit kapsul. Kapsul melenting naik ke udara dan kemudiannya membawa Datuk Nakjam dan isterinya melayang terbang ke serata kawasan di negara itu. Mereka dengan sombongnya memandang ke bawah, melihat bumi Playsia yang terbentang luas. Datuk Nakjamb tahu bahawa kawasan yang mereka lawati itu kelihatan kosong kerana semua makhluk bernyawa di negara itu telah mati rebah ke tanah, termasuk penulis hebat Irwan Abu Bakar.

Tetiba mata Datuk Nakjamb terbeliak. Dia nampak ada manusia hidup bergerak ke sana sini menjalankan aktiviti harian mereka di bawah sana.

crowd-waving

“Mustahil…,” jerit Datuk Nakjam. “Apakah itu roh-roh rakyat Playsia sedang meneruskan aktiviti harian rakyat?”

Pada ketika itu, Datuk Nakjamb menerima mesej Twitter di telefon bimbitnya. Mesej dari Ellie, si pembantu peribadinya:

Oh, Datuk telah lepaskan gas rupa-rupanyanya… Ada masalah sikit. Malam tadi ramai rakyat Playsia dari kumpulan PHhh naik berang atas kelewatan pengumuman keputusan PRU. Mereka mengamuk.  Mereka telah mencabut dan memusnahkan seluruh sistem batang paip gas yang kita bina selama ini! Aduuuuh… Gas yang Datuk lepaskan tadi tidak sampai ke mana-mana pun, hanya terbang naik ke awan lepas…

demonstrasi